31 March 2010

Kerja Kursus Sejarah 2010

Contoh Esei Elemen 3

Sambutan hari perayaan di negara ini meliputi perayaan Hari Raya Puasa buat orang Islam, Tahun Baru Cina buat orang Cina dan perayaan Deepavali buat orang India dan pelbagai lagi jenis perayaan tradisi kaum minoriti di negara kita. Ketika perayaan-perayaan ini disambut suasananya pasti dengan kegembiraan dan pelbagai jenis hidangan makanan. Semua rakyat negara ini pasti menantikan setiap perayaan dengan penuh debaran dan semangat tinggi. Oleh itu memang ada banyak kebaikan jika sambutan perayaan ini dilaksanakan di negara ini.
Kalau semua perayaan ini disambut bersama-sama sudah pasti akan berlaku interaksi antara kaum dan hubungan erat akan terjalin. Perayaan di negara ini mempunyai konsep rumah terbuka yakni setiap perayaan akan diadakan majlis melawat rumah orang yang menyambut sesuatu perayaan itu. Lawatan yang diadakan sudah pasti akan menyebabkan berlakunya interaksi antara kaum. Oleh itu, perayaan memang mampu meningkatkan interaksi kaum seterusnya memupuk semangat kekitaan dalam kalangan semua kaum di negara ini.

Interaksi yang wujud ketika melawat rumah seseorang itu akan meningkatkan pengetahuan masing-masing akan budaya kaum yang lain. Pemahaman sebegini menjadikan masyarakat lebih faham akan tindakan seseorang daripada kaum yang berbeza dalam sesuatu perkara dan yang jelas, kita sudah pastinya berbangga menjadi rakyat Malaysia. Sikap bertoleransi dan faham-memahami antara semua kaum ini sudah pasti tidak akan menimbulkan sebarang salah faham antara mereka. Maka, perayaan mampu meningkatkan kefahaman tentang budaya kaum yang lain dan mampu mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita.

Malah, imej negara juga akan turut menjadi lebih baik pada mata masyarakat dunia terutama pelancong asing. Bukan mudah untuk memiliki sebuah negara yang aman jika rakyatnya berbilang kaum pada kacamata masyarakat antarabangsa. Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanannya banyak bergantung kepada keupayaan rakyat negara ini menyambut perayaan setiap kaum dengan penuh kegembiraan. Jelaslah, perayaan di negara ini memberikan satu imej yang positif kepada negara dengan begitu mudah seterusnya mengukuhkan semangat setia negara.

Kesimpulannya, sambutan hari perayaan perlu diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Pada masa yang sama sambutan ini hendaklah dijadikan satu perayaan kebangsaan yang dinikmati bersama-sama. Generasi muda akan mendapat banyak manfaat daripada sambutan sebegini. Masyarakat yang harmoni, berusaha dan produktif akan wujud menerusi perayaan sebegini pada masa hadapan dan secara tidak langsung juga akan dapat memperkukuh dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

No comments:

Post a Comment